Memisahkan Tempat Tidur Anak Lelaki Dan Anak Perempuan

Menjaga batas dan aurat antara anak lelaki dan perempuan amatlah dititikberatkan dalam Islam. Namun, kebanyakan ibu bapa di Malaysia masih lagi memandang enteng akan hal ini.

Bismillahirrahmanirrahim, pada artikel kali ini kita akan membincangkan mengenai hukum anak lelaki dan anak perempuan tidur sebilik dan pada usia berapa mereka bilik mereka perlu diasingkan.

JAWAPAN DARI MUFTI WILAYAH PERSEKUTUAN:​

Memisahkan tempat tidur antara anak-anak adalah satu didikan ibu bapa kepada anak dalam menjaga batas auratnya walaupun sesama ahli keluarga. Hal ini juga bertujuan sebagai langkah berjaga-jaga daripada fitnah atau terbangkitnya nafsu syahwat walaupun sesama adik-beradik.

Rasulullah S.A.W. bersabda:

مُرُوا أَوْلَادَكُمْ بِالصَّلَاةِ وَهُمْ أَبْنَاءُ سَبْعِ سِنِينَ، وَاضْرِبُوهُمْ عَلَيْهَا، وَهُمْ أَبْنَاءُ عَشْرٍ وَفَرِّقُوا بَيْنَهُمْ فِي الْمَضَاجِعِ

Maksudnya: “Perintahkan anak-anak kamu untuk menunaikan solat ketika mereka berusia tujuh tahun, dan pukullah mereka ketika mereka berusia sepuluh tahun, dan pisahkan tempat tidur di antara mereka.”

Riwayat Ahmad (6689) Abu Daud (495) dan al-Albani menilainya Sahih

Majoriti fuqaha berpendapat bahawa wajib kepada bapa atau wali memisahkan tempat tidur anak-anak ketika berumur 10 tahun sama ada anak-anak tersebut sesama jantina atau lelaki dan perempuan mahupun antara anak dan ibu atau bapanya. [1]

HURAIAN JAWAPAN OLEH MUFTI WILAYAH PERSEKUTUAN:​

Bagaimana ingin memisahkan tempat tidur anak?

Berkata Imam al-Subki bahawa memisahkan tempat tidur dilakukan dengan dua cara sama ada untuk setiap anak satu tilam atau kedua-duanya setilam tetapi berpisah dan tidak bersentuhan. [2]

Hal ini menunjukkan bahawa pemisahan tempat tidur berlaku apabila berpisah dan tidak bersentuhan. Oleh itu, mengasingkan terus bilik tidur adalah lebih baik dan dapat mengelakkan perkara-perkara yang tidak diingini berlaku.

Perkara ini bukan sahaja perlu dititikberatkan oleh ibu bapa kepada anak-anak mereka yang belum baligh, malah lebih wajar diwajibkan sekiranya anak telah baligh dan berupaya menguruskan dirinya. Didikan adab ini sebaiknya dilakukan ketika anak-anak masih kecil supaya mereka tidak mengalami kesan-kesan negatif dari sudut emosi anak-anak apabila dilaksanakan tanpa latihan yang berperingkat.

Anda mahukan pahala yang berganda?

Ayuh Berinfaq kepada pembinaan Kompleks Pendidikan Islam Surau Al-Mujahidin.

Adab jika ingin memasuki bilik tidur anak-anak

Sekiranya anak berkongsi bilik dengan adik-beradiknya yang sesama jantina, maka perlu diperingatkan untuk sentiasa meminta izin sebelum masuk ke bilik tidur dan menjaga batas aurat di antara mereka.

Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لِيَسْتَأْذِنْكُمُ الَّذِينَ مَلَكَتْ أَيْمَانُكُمْ وَالَّذِينَ لَمْ يَبْلُغُوا الْحُلُمَ مِنْكُمْ ثَلاثَ مَرَّاتٍ مِنْ قَبْلِ صَلاةِ الْفَجْرِ وَحِينَ تَضَعُونَ ثِيَابَكُمْ مِنَ الظَّهِيرَةِ وَمِنْ بَعْدِ صَلاةِ الْعِشَاءِ ثَلاثُ عَوْرَاتٍ لَكُمْ لَيْسَ عَلَيْكُمْ وَلا عَلَيْهِمْ جُنَاحٌ بَعْدَهُنَّ طَوَّافُونَ عَلَيْكُمْ بَعْضُكُمْ عَلَى بَعْضٍ كَذَلِكَ يُبَيِّنُ اللَّهُ لَكُمُ الآيَاتِ وَاللَّهُ عَلِيمٌ حَكِيمٌ . وَإِذَا بَلَغَ الْأَطْفَالُ مِنْكُمُ الْحُلُمَ فَلْيَسْتَأْذِنُوا كَمَا اسْتَأْذَنَ الَّذِينَ مِنْ قَبْلِهِمْ كَذَلِكَ يُبَيِّنُ اللَّهُ لَكُمْ آيَاتِهِ وَاللَّهُ عَلِيمٌ حَكِيمٌ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah hamba-hamba kamu dan orang-orang yang belum baligh dari kalangan kamu, meminta izin kepada kamu (sebelum masuk ke tempat kamu), dalam tiga masa; (iaitu) sebelum sembahyang subuh, dan ketika kamu membuka pakaian kerana kepanasan tengah hari, dan sesudah sembahyang Isyak; itulah tiga masa bagi kamu (yang biasanya terdedah aurat kamu padanya). Kamu dan mereka tidaklah bersalah kemudian daripada tiga masa yang tersebut, (kerana mereka) orang-orang yang selalu keluar masuk kepada kamu, dan kamu masing-masing sentiasa berhubung rapat antara satu dengan yang lain. Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayatNya (yang menjelaskan hukum-hukumNya); dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana. Dan apabila kanak-kanak dari kalangan kamu telah baligh, maka hendaklah mereka meminta izin sama seperti cara orang-orang (yang telah cukup umur) yang tersebut dahulu, meminta izin. Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayatNya (yang menjelaskan hukum-hukumNya) dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.”

(Surah al-Nuur: 58-59)

Majoriti fuqaha berpendapat bahawa disunatkan bagi kanak-kanak meminta izin sebelum masuk ke ruang peribadi atau bilik tidur pada tiga waktu aurat iaitu sebelum subuh, ketika waktu tengahari dan selepas solat isyak. Sebab dinamakan waktu aurat kerana pada tiga waktu tersebut merupakan waktu berseorangan untuk tidur dan rehat dan kebiasaannya dalam keadaan tidak menutup aurat, maka ditakuti akan terlihat aurat seseorang sekiranya tidak meminta keizinan sebelum masuk ke ruang tersebut.

Manakala bagi seseorang yang baligh, wajib meminta keizinan sebelum masuk pada setiap keadaan sama ada pada tiga waktu tersebut atau waktu-waktu yang lain. [3]

KESIMPULAN

Tuntasnya, memisahkan tempat tidur antara anak-anak atau antara anak dan ibu bapanya merupakan satu didikan yang wajib ketika anak mencapai umur sepuluh tahun. Maka ia lebih aula’ (utama) dalam kewajipan memisahkan tempat tidur sekiranya anak-anak sudah baligh terutamanya antara adik-beradik lelaki dan perempuan. Oleh itu, berdasarkan soalan penanya, kami menasihatkan agar memisahkan tempat tidur anak-anak ketika berumur sepuluh tahun dilakukan dengan cara berikut:

Mengasingkan bilik anak-anak lelaki dan bilik anak-anak perempuan.
Sekiranya hanya terdapat dua bilik dan salah satunya bilik ibu bapa, maka perlu diutamakan untuk menyediakan bilik anak perempuan. Manakala anak lelaki diasingkan di ruang lain seperti ruang tamu. Hal ini bertujuan sebagai langkah berjaga-jaga (saddul zari’ah) daripada timbulnya sebarang mafsadah pada masa akan datang.

Tidak dinafikan penyediaan rumah yang selesa bergantung kepada kemampuan individu masing-masing. Namun begitu, kami menasihatkan supaya ibu bapa sentiasa berusaha mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan oleh syarak dalam urusan keluarga.

Firman Allah SWT:

فَاتَّقُوا اللَّهَ مَا اسْتَطَعْتُمْ

Maksudnya: “Oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah sedaya upaya kamu”

(Surah al-Taghaabun: 16)

Semoga Allah SWT memberi kefahaman yang baik kepada kita dalam dalam urusan kehidupan kita. Wallahua’lam

RUJUKAN

[1] al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah 38/34

[2] Qadha’ al-Arb fi As’ilah Halab (hal. 248)

[3] Tafsir al-Munir 18/293-295

[4] Harun, A. (2020, January 20). AL-KAFI #1545 : HUKUM ANAK LELAKI DAN PEREMPUAN TIDUR SEBILIK. Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan. https://muftiwp.gov.my/ms/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/4028-al-kafi-1545-hukum-anak-lelaki-dan-perempuan-tidur-sebilik

Anda mahukan pahala yang berganda?

Ayuh Berinfaq kepada pembinaan Kompleks Pendidikan Islam Surau Al-Mujahidin.

Kongsi artikel ini di: