Bismillahirrahmanirrahim,
Dalam era digital yang semakin berkembang, peranan sebagai seorang ‘content reviewer’ menjadi semakin penting dalam menjaga integriti dan kesucian ruang siber. Dalam artikel ini, kita akan membahas dengan mendalam hukum dan tanggungjawab menjadi seorang ‘content reviewer‘ yang terdedah dengan unsur-unsur maksiat, serta bagaimana menjalankan tugas ini dengan penuh kesedaran dan amanah.
JAWAPAN RINGKAS DARI MUFTI WILAYAH PERSEKUTUAN:
Bekerja sebagai content reviewer diharuskan kerana tujuan pekerjaan ini demi menjaga kemaslahatan awam dengan menapis kandungan yang sensitif di internet yang bercanggah dengan polisi kesejahteraan pengguna di samping menjalankan tanggungjawab sebagai seorang mukmin dalam mencegah kemungkaran dan maksiat.
Oleh yang demikian content reviewer perlu sentiasa menjaga diri agar tidak terpengaruh dengan kandungan negatif yang dilihat atau dibaca. Dinasihatkan kepada individu yang mudah terkesan dan terpengaruh dengan kandungan negatif yang berunsurkan keganasan atau lucah untuk mengelakkan diri daripada memilih pekerjaan ini. Wallahu a’lam. [3]
HURAIAN JAWAPAN OLEH MUFTI WILAYAH PERSEKUTUAN:
Anda mahukan pahala yang berganda?
Ayuh Berinfaq kepada pembinaan Kompleks Pendidikan Islam Surau Al-Mujahidin.
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga baginda, para sahabat baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat.
Dalam keadaan dunia teknologi kini, bekerja sebagai content reviewer adalah harus kerana pekerjaan tersebut menjadi satu keperluan dalam mencegah maksiat sebagaimana kaedah fiqh:
الضرورات تبيح المحظورات
Maksudnya: Keadaan darurat mengharuskan perkara-perkara haram.
Sebagai seorang mukmin, kita dipertanggungjawabkan untuk menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran sebagaimana yang disebutkan dalam firman Allah SWT:
وَلْتَكُن مِّنكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ ۚ وَأُولَٰئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ
Maksudnya: Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya.
Surah Ali ‘Imran (104)
Tugasan content reviewer menapis dan menyemak kandungan hebahan-hebahan yang negatif dan sensitif daripada dihebahkan kepada masyarakat di internet boleh dianggap sebagai mencegah perbuatan kemungkaran. Tanggungjawab ini perlu dilaksanakan oleh content reviewer dengan penuh sabar dan amanah, malah ia bertepatan dengan sabda Rasulullah SAW dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Sa’id al-Khudri:
مَنْ رَأَى مِنْكُمْ مُنْكَرًا فَلْيُغَيِّرْهُ بِيَدِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِلِسَانِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِقَلْبِهِ، وَذَلِكَ أَضْعَفُ الْإِيمَانِ
Maksudnya: Barangsiapa di antara kamu yang melihat kemungkaran, hendaklah dia mencegahnya dengan tangannya. Sekiranya dia tidak mampu (dengan tangan), maka dengan lisannya. Sekiranya dia tidak mampu juga (dengan lisan), maka dengan hatinya. Sesungguhnya itu adalah selemah-lemah iman.
Riwayat Muslim (49)
Keadaan menjadi lebih terdesak apabila telah banyak bahan-bahan yang tersebar di internet mengandungi unsur keganasan, berbahaya dan negatif seperti penyebaran berita palsu, ideologi-ideologi yang boleh menjejaskan kemuliaan agama Islam dan juga kesejahteraan negara. Oleh yang demikian pekerjaan content reviewer ini diperlukan untuk mengelakkan penyebaran unsur-unsur negatif tersebut.
Tidak dinafikan bahawa pekerjaan ini akan mendedahkan diri kepada maksiat dan perbuatan itu perlu dielakkan jika tiada keperluan. Namun begitu, pekerjaan ini sangat diperlukan dalam keadaan dunia teknologi yang semakin berkembang untuk menjaga maslahah masyarakat awam. Hal ini kerana apabila wujudnya pekerjaan content reviewer ini, hantaran di internet yang mengandungi perkara-perkara negatif mampu dikawal daripada disiarkan kepada masyarakat walaupun reviewer akan terdedah dengan perkara negatif tersebut. Pertimbangan ini selari dengan kaedah fiqh:
إذَا تَعَارَضَ مَفْسَدَتَانِ رُوعِيَ أَعْظَمُهُمَا ضَرَرًا بِارْتِكَابِ أَخَفِّهِمَا
Maksudnya: Apabila bertembung dua kemudaratan, maka elakkanlah mudarat yang lebih besar dengan melakukan mudarat yang lebih kecil. [1]
Selain itu, kaedah berikut:
يتحمل الضرر الخاص لدفع الضرر العام
Maksudnya: Menanggung mudarat yang khusus demi mencegah mudarat yang umum. [2]
Walau bagaimanapun, setiap keharusan untuk melakukan perkara yang haram pada asalnya perlulah dilakukan sekadarnya. Bagi seorang penyemak kandungan hendaklah memastikan kadar melihat maksiat dalam keadaan darurat mengikut kadar keperluan sahaja, bukan berlebih-lebihan dan mengambil kesempatan selari dengan kaedah fiqh:
الضرورة تقدّر بقدرها
Maksudnya: Mudarat (hanya diambil) cukup sekadar yang perlu sahaja.
Oleh yang demikian, penyemak kandungan yang akan kerap terdedah dengan kandungan yang negatif hendaklah sentiasa menjaga dirinya agar tidak terpengaruh dengan perkara yang membawa kepada kemungkaran serta tidak menyalahgunakan keizinan untuk menapis kandungan sensitif demi kepentingan peribadi. [3]
KESIMPULAN DARI MUFTI WILAYAH PERSEKUTUAN:
Berdasarkan penerangan di atas, menjadi content reviewer merupakan satu pekerjaan yang sangat penting dalam menapis kandungan yang sensitif di internet yang bercanggah dengan polisi kesejahteraan pengguna. Di samping itu, ini juga salah satu cara dalam menjalankan tanggungjawab sebagai seorang mukmin untuk mencegah kemungkaran.
Dinasihatkan kepada individu yang mudah terkesan dan terpengaruh dengan kandungan negatif yang berunsurkan keganasan atau lucah untuk mengelakkan diri daripada memilih pekerjaan sebagai content reviewer ini. Akhir sekali, semoga Allah SWT membantu kita dalam melaksanakan tanggungjawab amar makruf dan nahi mungkar dengan mengikut syariat-Nya.
Wallahu a’lam.[3]
Rujukan
[1] Al-Suyuti, Abd al-Rahman bin Abi Bakr. (1990). Al-Asybah wa al-Naza’ir. Cetakan pertama. Dar al-Kutub al-Ilmiyyah. Hlm. 87.
[2] Al-Zuhaili, Muhammad Mustafa. (2006). Al-Wajiz fi Usul al-Fiqh al-Islamiy. Cetakan kedua. Dar al-Khair li al-Tiba’ah wa al-Nasyr wa al-Tauzi’ – Damsyik. Jld. 1, Hlm. 125.
[3] Aisyah Harun. (2023). IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-778: HUKUM BEKERJA SEBAGAI CONTENT REVIEWER YANG TERDEDAH DENGAN MAKSIAT. Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan. https://www.muftiwp.gov.my/artikel/irsyad-fatwa/irsyad-fatwa-umum/5658-irsyad-al-fatwa-siri-ke-778-hukum-bekerja-sebagai-content-reviewer-yang-terdedah-dengan-maksiat