HUKUM MENGUATKAN SUARA KETIKA SOLAT DENGAN TUJUAN MEMBERI ISYARAT DI LUAR SOLAT
Assalamualaikum Datuk, di sini saya ingin bertanya. Jika saya sedang solat kemudian ada orang diluar rumah memanggil nama saya. Adakah saya boleh meninggikan suara saya supaya orang yang memanggil tersebut tahu saya sedang solat.
Ringkasan Jawapan:
Mengangkat suara semasa mengerjakan ibadat solat bagi tujuan memberi isyarat dan kefahaman kepada orang yang memanggil tersebut adalah diharuskan sekiranya terdapat keperluan dan hajat seperti gangguan terhadap fokus solat. Namun begitu, perbuatan tersebut hendaklah pada bacaan-bacaan dalam solat seperti takbir untuk berpindah rukun (intiqalat) atau bacaan zikrullah seperti subhanallah dalam masa yang sama perlu diniatkan untuk membaca bacaan tersebut. Adapun jika tidak meniatkan membaca takbir atau tasmik dan semata-mata untuk menjawab panggilan orang di luar solat maka terbatal solatnya.
Huraian Jawapan:
Apabila seseorang itu sedang mengerjakan solat, hendaklah mengerjakan solat tersebut dalam keadaan khusyuk iaitu fokus kepada tatacara ibadat tersebut tanpa mengira hal-hal yang berlaku pada keadaan sekeliling. Hal ini kerana ia termasuk kategori memelihara dan menjaga solat seperti mana yang dituntut oleh Allah SWT di dalam firmannya:
حَافِظُوا عَلَى الصَّلَوَاتِ وَالصَّلَاةِ الْوُسْطَىٰ وَقُومُوا لِلَّهِ قَانِتِينَ
Maksudnya: “Peliharalah kamu (kerjakanlah dengan tetap dan sempurna pada waktunya) segala sembahyang fardu, khasnya sembahyang Wusta (sembahyang Asar), dan berdirilah kerana Allah (dalam sembahyang kamu) dengan taat dan khusyuk.”
(Surah al-Baqarah: 238)
Merujuk kepada dalil di atas, Al-Qurtubi mentafsirkan maksud perkataan “peliharalah” ialah merujuk kepada suruhan Allah SWT ke atas hambanya supaya memelihara serta menjaga solatnya dengan mengerjakan solat tersebut dalam waktunya dan memenuhi syarat-syaratnya.[1] Jelaslah di sini bahawa wajib solat dengan menyempurnakan segala rukun dan syarat-syaratnya.
Berkenaan dengan isu meninggikan suara ketika solat, ia boleh dikaitkan dengan perbahasan memberi isyarat dalam solat. Asal hukum memberi isyarat di dalam solat itu adalah makruh. Namun begitu, sekiranya terdapat hajat dan keperluan bagi seseorang itu untuk memberi isyarat ketika solat maka ia diharuskan berbuat demikian. Menurut Sheikh Muhammad bin Ahmad al-Syatiri di dalam karyanya:
وتكره الإشارة أيضا لغير حاجة، إنما المواقف تختلف، فقد يضطر المصلي لها، فلو رأى شخصا ماشيا في اتجاه نجاسة في الأرض لا يعلمها، فأشار إليها ليحترس فلا كراهة لها
Maksudnya: “Ditegah memberi isyarat tanpa sebarang hajat, sungguhpun begitu situasi kadang kala berbeza. Ada kalanya seseorang yang sedang solat terpaksa memberikan isyarat contohnya dia melihat seseorang sedang berjalan ke arah najis yang berada di tanah sedangkan orang yang berjalan itu tidak mengetahuinya lalu dia memberi isyarat kepada orang tersebut supaya berjaga-jaga, maka hukumnya tidak makruh.”[2]
(Rujuk Syarh al-Yaqut al-Nafis: hlm 162)
Merujuk kepada keterangan di atas, jelaslah terdapat keadaan yang boleh bagi seseorang itu memberi isyarat ketika mengerjakan solat berdasarkan situasi dan keperluan. Oleh itu, perbuatan mengangkat suara semasa solat dengan tujuan memberi kefahaman kepada orang yang memanggil tersebut adalah diharuskan. Tambahan lagi, panggilan tersebut mengganggu khusyuk bagi orang yang solat.
Namun begitu, perbuatan mengangkat suara ini bergantung kepada niat orang yang solat itu juga kerana niat tersebut akan memberi implikasi kepada solatnya. Imam Khatib al-Syirbini menjelaskan jika orang yang solat itu berniat untuk menjawab panggilan beserta dengan niat bacaan solat atau membaca takbir dan tasmik ketika solat maka solatnya tidak batal. Manakala jika dia meninggikan suara tersebut semata-mata tujuan pemakluman maka solatnya batal.[3]
Anda mahukan pahala yang berganda?
Ayuh Berinfaq kepada pembinaan Kompleks Pendidikan Islam Surau Al-Mujahidin.
Kesimpulan:
Mengangkat suara semasa mengerjakan ibadat solat bagi tujuan memberi isyarat dan kefahaman kepada orang yang memanggil tersebut adalah diharuskan sekiranya terdapat keperluan dan hajat seperti gangguan terhadap fokus solat. Namun begitu, perbuatan tersebut hendaklah pada bacaan-bacaan dalam solat seperti takbir untuk berpindah rukun (intiqalat) atau bacaan zikrullah seperti subhanallah dalam masa yang sama perlu diniatkan untuk membaca bacaan tersebut. Adapun jika tidak meniatkan membaca takbir atau tasmik dan semata-mata untuk menjawab panggilan orang di luar solat maka terbatal solatnya.
Adapun jika tidak meniatkan pada bacaan takbir atau tasmik dan semata-mata untuk menjawab panggilan orang di luar solat maka terbatal solatnya.
Wallahu A’lam..
Rujukan:
[1] Al-Qurtubi, Abu ‘Abdullah Muhammad bin Ahmad. 1964. Al-Jami’ Li-Ahkam al-Quran. Tahki: Ahmad al-Barduni dan Ibrahim Athfisy. Cetakan 2, Kaherah: Dar al-Kutub al-Misriyyah. Jilid 3, hlm 212. Teks Asal:
(حافِظُوا) خطاب لجمع الْأُمَّةِ، وَالْآيَةُ أَمْرٌ بِالْمُحَافَظَةِ عَلَى إِقَامَةِ الصَّلَوَاتِ فِي أَوْقَاتِهَا بِجَمِيعِ شُرُوطِهَا.
[2] Al-Syatiri, Muhammad bin Ahmad bin Umar. 2010. Syarh al-Yaqut al-Nafis. Cetakan 5, Beirut: Dar al-Minhaj, hlm 162.
[3] Al-Syirbini, Muhammad bin Ahmad al-Khatib. 1994. Mughni al-Muhtaj ila Ma’rifat Ma‘ani alfaz al-Minhaj. Cetakan 1, Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah. Jilid 1 hlm 414. Teks Asal:
فَإِنَّهُ إنْ قَصَدَ الرَّدَّ مَعَ الْقِرَاءَةِ أَوْ الْقِرَاءَةَ فَقَطْ أَوْ قَصَدَ التَّكْبِيرَ أَوْ التَّسْمِيعَ فَقَطْ مَعَ الْإِعْلَامِ لَمْ تَبْطُلْ، وَإِلَّا بَطَلَتْ